10.2.2022
Khanafi Mohd
Habbatussauda dan Thymoquinone
Habbatussauda dan Thymoquinone
Habbatussauda merupakan nama yang amat popular dalam bidang pemakanan terutamanya pemakanan sihat dan juga dalam bidang perubatan tradisional dan moden. Habbatus Sauda atau nama saintifiknya Nigella sativa L. merupakan salah satu tanaman yang mengandungi pelbagai bahan bioaktif yang bermanfaat untuk kesihatan. Selain habatussauda, Nigella sativa L. dan biji-bijiannya juga dikenali dengan nama lain seperti jintan hitam, jintan hitam, bunga pala, bunga adas, ketumbar Rom dan kalonji (Singh et al., 2017).
Keaslian Minyak Habbatus Sauda
Bijian ini mengandungi 30-34% kandungan minyak yang biasanya diekstrak kerana kandungan bioaktifnya yang bermanfaat (Ibrahim & Habbasha. 2021). Untuk kita menentukan minyak habatussauda itu 100% diekstrak dari sumbernya adalah dengan mengetahui kandungan asid lemaknya. Biasanya asid lemak utama yang dikenal pasti dalam minyak pati yang diekstrak menggunakan cold press extraction adalah 58.8–61.2% linoleic acid dan 22.6 -24.5% oleic acid. Bagi pengestrakan jenis Supercritical Fluid Extraction dan Solvent Extraction adalah linoleic acid (22.4-61.8%) dan oleic acid (1.64-18.9%). Oleh itu dengan analisis yang dilakukan, kita boleh mengetahui keaslian minyak habatussauda yang kita gunakan.
Keistimewaan Thymoquinone
Thymoquinone adalah komponen bioaktif dalam minyak habatussauda yang sangat popular dan ianya mudah meruap. Ianya yang telah banyak digunakan secara tradisional di negara-negara Asia Timur Tengah dan Asia Tenggara kerana keupayaannya untuk meningkatkan kesihatan. Kajian menunjukkan Thymoquinone mempunyai pelbagai fungsi dan aktiviti biologi seperti antikanser, penggalak imunisasi, antioksidan, anti-radang, serta bersifat cardioprotective, hepatoprotective dan neuroprotective. Kandungan Thymoquinone di dalam minyak habatussauda berbeza mengikut cara minyak itu diekstrak. Bagi pengekstrakan jenis cold press kandungannya sehingga 9.63mg/ml dan jika diekstrak menggunakan supercritical CO2 ianya boleh mencecah hingga 21.02 mg/ml (Demirbolat et al., 2019)
Tetapi pergantungan kepada Thymoquinone sahaja sebagai indikasi kualiti sesuatu produk habatussauda adalah satu pendekatan yang kurang tepat kerana terdapat banyak lagi bahan aktif yang bermanfaat di dalamnya. Diantara komponen lain adalah seperti kaempferol, alpha-hederin, Thymol, Nigellidine, Nigellimine dan sebagainya yang memberi manfaat kesihatan dan saling melengkapi untuk pelbagai fungsi dan manfaat kesihatan (Kulyar et al., 2021).
Vaksinasi amatlah penting bagi mengahadapi jangkitan wabak COViD-19 di era pandemik sekarang, akan tetapi, thymoquinone juga dicadangkan oleh ahli sains untuk membantu merencatkan virus penyebab COVID-19, SARS-CoV-2. Thymoquinone berfungsi dengan menyekat pengikatan protein pada virus, secara langsung, merencatkan sel-sel virus tersebut. Hal ini sangat penting kerana ia merupakan kaedah menghadapi jangkitan dan juga memastikan simptom jangkitan COViD-19 terkawal. Walaupun begitu, thymoquinone bukanlah pengganti vaksin, ia hanya membantu usaha kita mencegah jangkitan COViD yang serius (Ajaz Ahmad et al., 2020).
Amalkanlah minyak habbatussauda bagi menjaga kesihatan menyeluruh badan anda. Terutamanya pada musim wabak ini yang mendatangkan pelbagai jenis kerisauan dari pelbagai sudut kehidupan seharian kita. Jika kita hendak menggunakan minyak habbatussauda, dapatkanlah dari sumber pemprosesan yang diyakini untuk mendapatkan kualiti minyak yang tertinggi agar kita mampu mendapatkan khasiat yang terbaik daripadanya.
Rujukan:
Singh, R. P., H.v., G., & K, M. (2017). Cuminum cyminum – A Popular Spice: An Updated Review. Pharmacognosy Journal, 9(3), 292-301. doi:10.5530/pj.2017.3.51
Ibrahim, F. M., & Habbasha, S. F. (2020). Effect of Processing on the Composition and Quality of Nigella sativa Essential Oil. Black Cumin (Nigella Sativa) Seeds: Chemistry, Technology, Functionality, and Applications Food Bioactive Ingredients, 421-431. doi:10.1007/978-3-030-48798-0_27
Demirbolat, I., Kartal, M., & Karik, Ü. (2019). Development and validation of a GC-FID method to quantify thymoquinone in black cumin seed oils. Journal of Research in Pharmacy, 23(3), 506-513. doi:10.12991/jrp.2019.157
Kulyar, M. F., Li, R., Mehmood, K., Waqas, M., Li, K., & Li, J. (2021). Potential influence of Nagella sativa (Black cumin) in reinforcing immune system: A hope to decelerate the COVID-19 pandemic. Phytomedicine, 85, 153277. doi:10.1016/j.phymed.2020.153277
Ajaz Ahmad, Muneeb U. Rehman, Parvaiz Ahmad, Khalid M. Alkharfy. (2020). Covid‐19 and thymoquinone: Connecting the dots. Phytother Res.10.1002/ptr.6793. doi:10.1002/ptr.6793